Monday, June 1, 2009

Kewangan Islam - Pengurusan Risiko Adakah kewangan Islam menolak konsep pengurusan risiko?

Adakah pengurusan risiko suatu konsep yang asing dalam kewangan Islam? Sudah tentu tidak.


Apakah itu pengurusan risiko? Secara ringkasnya, ia adalah proses bagi mengenalpasti risiko, mengukur risiko, memantau risiko, melaporkan mengenai risiko dan mengawal risiko. Tapi tunggu... mungkin ada yang tidak tahu apakah itu risiko? Risiko adalah ketidakpastian dan pendedahan pada ketidakpastian berkenaan.

Dengan berpandukan definisi-definisi tersebut, jelaslah bahawa sesuatu sistem kewangan tidak dapat beroperasi dengan berkesan dan cekap tanpa kewujudan sistem pengurusan risiko yang mantap dan kuat, terutamanya dalam dunia global masa kini, yang mana risiko sistemik bermain di minda setiap orang, khususnya ketua pegawai eksekutif di institusi-institusi kewangan yang besar, yang mempunyai pejabat di seluruh dunia.

Institusi kewangan Islam beroperasi di alam nyata. Maka, sudah tentulah ia terdedah pada risiko, dengan risiko-risiko utama yang dihadapinya adalah risiko kredit, risiko pasaran dan risiko operasi. Risiko kredit didefinisikan sebagai risiko yang berpunca daripada ketidakpastian, iaitu sama ada pihak penghutang berkeinginan ataupun mempunyai kemampuan untuk menjelaskan hutangnya ataupun tidak. Dalam model perniagaan institusi kewangan Islam yang sedia ada, yang mana kebanyakan produk mereka adalah berdasarkan kredit, mereka terdedah pada risiko kredit, yakni sama seperti institusi kewangan konvensional. Walau bagaimanapun, banyak pihak, terutamanya ahli akademik dan para ilmuwan berpandangan bahawa model perniagaan yang diaplikasikan oleh institusi kewangan Islam era kini tidak memenuhi syarat-syarat bagi perniagaan kewangan Islam yang sebenar, yang dicirikan oleh perkongsian untung dan rugi, yang menjana pertumbuhan ekonomi. Isu itu tidak akan dibincangkan dalam artikel ini, tetapi dalam artikel-artikel yang akan datang.

Risiko pasaran pula ditakrifkan sebagai risiko kewangan yang diakibatkan oleh ketidakpastian dalam nilai sesuatu portfolio aset dan/atau liabiliti. Institusi kewangan Islam terdedah pada risiko pasaran, terutamanya apabila ia memberikan pembiayaan di bawah prinsip salam dan istisna’, atau murabahah sekalipun. Turun naik harga komoditi merupakan risiko kerugian yang dihadapi institusi kewangan Islam. Walau bagaimanapun, dalam hal ini, banyak pihak yang berhujah bahawa dalam landskap perbankan Islam masakini, bank-bank Islam tidak terdedah pada risiko pasaran yang berkaitan dengan perdagangan komoditi. Ini disebabkan hak terhadap komoditi terbabit tidak dipindahkan kepada mereka, seperti yang jelas terpapar dalam pelaksanaan bai’ bithaman ajil.

Berkenaan dengan risiko operasi pula, ia lazimnya dikaitkan dengan manusia, teknologi dan operasi seharian. Risiko ini tidak hanya dialami oleh institusi kewangan, tetapi juga oleh mana-mana entiti perniagaan.

Berbalik kita pada persoalan asal, iaitu adakah kewangan Islam menolak konsep pengurusan risiko? Jawapannya tidak. Ini dapat dibuktikan melalui ayat-ayat Quran dan juga Sunnah Rasulullah s.a.w. yang sarat dengan saranan supaya manusia menggunakan akal mereka untuk berjaya dalam dunia yang penuh dengan ketidakpastian ini.

Dalam Surah Yusuf, misalnya, kita diberitahu mengenai bagaimana Nabi Yusuf a.s. mentafsir mimpi Raja Mesir, yakni Mesir akan berhadapan dengan tujuh tahun kemarau selepas tujuh tahun yang penuh dengan kemakmuran. Berdasarkan penafsiran itu, Nabi Yusuf a.s. kemudiannya mencadangkan suatu pelan bagi menghadapi masa kritikal itu. Pelannya adalah supaya penduduk Mesir menanam bahan makanan semasa tujuh tahun yang makmur itu dan menyimpan sebahagian besar daripadanya. Ini adalah supaya mereka akan siap siaga apabila kemarau melanda bagi tujuh tahun yang berikutnya.

Nabi Yusuf a.s. kemudiannya dilantik oleh Raja Mesir sebagai Menteri Pertanian. Sebagai Menteri Pertanian, baginda melaksanakan pelan yang dirangkanya itu. Hasilnya, Mesir dapat bertahan apabila kemarau melanda dan berpanjangan selama tujuh tahun. Ini adalah bukti jelas pengurusan risiko, iaitu risiko kelaparan dan kebuluran dikurangkan dengan menanam bahan makanan dan menyimpan sebahagian besar daripadanya selama tujuh tahun pertama, iaitu tahun-tahun yang makmur.

Sebuah lagi contoh adalah hadis yang seringkali digunakan oleh para penggiat industri takaful. Secara ringkasnya, hadis itu berkisar mengenai seorang Arab Badwi yang bertanyakan pada Rasulullah s.a.w. tentang mana yang lebih baik; meninggalkan untanya tanpa diikat dan memohon agar Allah s.w.t. melindungi untanya ataupun mengikat untanya. Rasulullah s.a.w. menyuruhnya mengikat untanya dan kemudian barulah bertawakkal kepada Allah s.w.t.. Ini jelas menunjukkan bahawa walaupun segala perkara ditentukan oleh Allah s.w.t., kita haruslah sentiasa menggunakan minda kita untuk menentukan tindakan yang terbaik bagi sesuatu situasi, dengan syarat tindakan itu adalah selaras dengan kehendak Syariah. Dalam konteks pengurusan risiko, dalam kes ini, risiko unta itu melarikan diri ataupun dicuri dikurangkan dengan mengikatnya.

Daripada bukti-bukti yang dijelaskan, sedarlah kita kini bahawa Islam tidak menolak konsep pengurusan risiko, malah menggalakkannya bagi memastikan kelangsungan kewujudan manusia sebagai khalifah di bumi Tuhan yang indah ini.

No comments:

Post a Comment