Wednesday, June 3, 2009

Prinsip Syariah dalam Perbankan Islam

Perbankan Islam mempunyai tujuan yang sama dengan perbankan konvensional melainkan operasinya adalah berlandaskan prinsip Syariah, yang dikenali sebagai Fiqh al-Muamalat (peraturan-peraturan Islam di dalam urus niaga). Prinsip dasar perbankan Islam ialah perkongsian untung dan rugi dan larangan ke atas riba (faedah).

Di antara konsep-konsep Islam yang selalu diguna pakai di dalam perbankan Islam ialah:

Perbankan Islam di Malaysia

Bentuk terawal aktiviti perbankan Islam diketahui bermula pada bulan September 1963 dengan tertubuhnya Perbadanan Wang Simpanan Bakal-Bakal Haji (PWSBH). PWSBH telah ditubuhkan untuk dijadikan institusi bagi umat Islam membuat simpanan sebagai persediaan mengerjakan ibadat Haji ke tanah suci Mekah. Pada tahun 1969, PWSBH telah bergabung dengan Pejabat Urusan Haji bagi membentuk Lembaga Urusan dan Tabung Haji (kini dikenali sebagai Lembaga Tabung Haji).

Bank Islam pertama telah ditubuhkan pada tahun 1983. Pada tahun 1993, bank perdagangan, bank saudagar dan syarikat kewangan mula dibenarkan untuk menawarkan produk-produk dan perkhidmatan perbankan Islam di bawah Skim Perbankan Tanpa Faedah (SPTF). Walau bagaimanapun, institusi-institusi ini dikehendaki mengasingkan dana dan aktiviti urus niaga perbankan Islam daripada urus niaga perbankan konvensional bagi memastikan tiada percampuran dana.

Pusat Kewangan Islam Antarabangsa

Berikutan pembangunan sistem kewangan Islam yang komprehensif serta semakin liberal dan bersepadu dengan sistem kewangan antarabangsa, Malaysia berada pada kedudukan terbaik untuk muncul sebagai pusat kewangan Islam antarabangsa. Inisiatif tertumpu untuk mengukuhkan kekuatan Malaysia dalam organisasi, penerbitan dan jual beli instrumen pasaran modal dan perbendaharaan Islam, pengurusan dana dan kekayaan Islam, pasaran perkhidmatan kewangan Islam luar pesisir serta aktiviti takaful dan takaful semula.

Pelbagai insentif diambil untuk menjadikan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan pendidikan, latihan, khidmat runding dan penyelidikan dalam perbankan dan kewangan Islam serta menjadi institusi perbankan Islam domestik yang berkembang ke luar. Hala tuju dasar adalah untuk mempertingkat daya tahan, kecekapan dan kapasiti institusi kewangan Islam domestik dan infrastruktur kewangan Islam bagi mempertingkatkan kemantapan dan kestabilan sistem kewangan Islam.

Sistem Kewangan Islam

Prestasi industri perbankan Islam terus bertambah kukuh pada tahun 2005. Pada akhir tahun itu, aset berlandaskan Islam mencatat pertumbuhan kukuh sebanyak 17.7% kepada RM111.8 bilion dan jumlah itu mencakupi 11.3% daripada jumlah aset keseluruhan sistem perbankan. Bahagian pasaran deposit dan pembiayaan berlandaskan Islam juga meningkat masing-masing kepada 11.7% dan 12.1% daripada jumlah industri.

Liberalisasi industri perbankan Islam menyaksikan pembukaan bank Islam asing yang pertama yang dilesenkan di bawah Akta Bank Islam 1983, pada bulan Ogos 2005. Berikutan liberalisasi peraturan pentadbiran pertukaran asing pada tahun 2004, pasaran kewangan Islam menunjukkan kedalaman yang lebih nyata pada tahun 2005 dengan instrumen kewangan berlandaskan Syariah dalam didominasi ringgit terus diterbitkan oleh agensi asing dalam pasaran bon dalam negeri. Perkembangan ini bukan sahaja meningkatkan keyakinan dalam pasaran modal dalam negeri tetapi turut menyumbang kepada kedalaman dan peluasan pasaran.

Sistem kewangan Islam di Malaysia menunjukkan kemajuan yang ketara dalam persekitaran yang semakin liberal dan berdaya saing sejajar dengan peningkatan integrasi antarabangsa sistem kewangan Islam Malaysia. Kapasiti dan keupayaan keinstitusian peserta perbankan Islam serta infrastruktur kewangan dan rangka kerja penyeliaan terus diperkukuh untuk mencapai objektif seperti yang terkandung dalam fasa kedua PISK. Liberalisasi industri perbankan Islam menyaksikan pembukaan bank Islam asing yang pertama yang dilesenkan di bawah Akta Bank Islam 1983, pada bulan Ogos 2005.

Selain itu, subsidiari Islam bagi tiga kumpulan perbankan domestik telah memulakan operasi dengan memanfaatkan sepenuhnya kefleksibelan beroperasi yang diberikan oleh lesen perbankan Islam. Berikutan liberalisasi peraturan pentadbiran pertukaran asing pada tahun 2004, pasaran kewangan Islam menunjukkan kedalaman yang lebih nyata pada tahun 2005 dengan instrumen kewangan berlandaskan Syariah dalam didominasi ringgit terus diterbitkan oleh agensi asing dalam pasaran bon dalam negeri. Perkembangan ini bukan sahaja meningkatkan keyakinan dalam pasaran modal dalam negeri tetapi turut menyumbang kepada kedalaman dan peluasan pasaran.

Monday, June 1, 2009

Keislaman Sistem Kewangan Islam: Antara Idealistik dan Realistik

Perbankan Islam telah bertapak selama lebih 25 tahun di Malaysia. Perkembangan perbankan Islam semakin rancak selepas Bank Negara Malaysia memberi sokongan penuh dengan meluluskan penubuhan syarikat penuh perbankan Islam kepada bank-bank konvensional yang berminat. Maka kaunter perbankan Islam di bank-bank konvensional akan berdiri sebagai salah satu anak syarikat bank-bank konvensional dan mempunyai satu entiti berasingan dari bank-bank konvensional yang wujud pada waktu ini. Tetapi isu-isu perihal perbankan Islam seperti ianya masih tidak menepati kehendak Shariah masih berterusan hingga ke saat ini. Alternatif ini disangsi oleh beberapa pihak yang menyoal isu-isu Shariah yang wujud di sebalik produk-produk yang ditawarkan oleh perbankan Islam sebagai produk yang tidak Islamik.

Revolusi perbankan melalui sistem yang direka berlandaskan Shariah ini dirasakan kurang menyengat apabila perbankan Islam tidak menyelesaikan beberapa isu yang masih menyelubungi sistem ini. Tulisan demi tulisan membongkar isu-isu Shariah di sebalik ‘penipuan’ perbankan Islam menjadi santapan orang awam dan hasilnya membawa kepada kesan jangka masa panjang. Melalui tulisan-tulisan sebegini, para pembaca boleh menambah pengetahuan dengan mengetahui isu-isu Shariah di sebalik modus operandi produk-produk yang ditawarkan.Cuma sahaja lebih parah jika ada para pembaca yang mengambil keputusan untuk beralih terus kepada perbankan konvensional bila membugar prasangka negatif terhadap ‘keislaman’ perbankan Islam yang kurang Islamik walaupun mengetahui pengharaman sistem riba yang menjadi asas perbankan konvensional itu sudah jelas.

Walaupun perbankan Islam telah wujud lebih tiga dekad di seluruh dunia ini, kita tidak dapat menafikan tentang kewujudan isu-isu Shariah di sebaliknya. Cuma tulisan-tulisan idealis berkenaan perbankan Islam perlulah berpijak pada realiti hari ini agar tidak mewujudkan rasa sangsi dalam benak para pembaca sehingga meragui akan alternatif yang ditawarkan. Perkara ini telahpun disentuh oleh Mahmoud El-Gamal dalam kertas kerja beliau bertajuk “The Economics of 21st Century Islamic Jurisprudence”. Secara ringkasnya Mahmoud El-Gamal menerangkan bahawa jika ingin mengaplikasi apa yang termuat dalam teori, ianya tidaklah semudah yang dijangkakan.

Dalam tulisan tersebut beliau melihatkan kepentingan equiti dan efisiensi yang menjadi faktor mengapa wujudnya jurang perbezaan antara tulisan awal dan mutakhir perihal kewangan Islam. Hal ini berlaku kerana golongan agamawan cenderung kepada equiti tetapi mereka yang terlibat dalam industri pula cenderung kepada efisiensi. Equiti bermaksud keadilan dalam distribusi manakala efisiensi merujuk kepada menghasilkan sesuatu dengan kos yang rendah. Pemilihan yang ideal sememangnya seperti apa yang dihajati oleh golongan agamawan yang lebih mengetahui kehendak Shariah, akan tetapi buat masa ini kerangka institusi masih belum mampu untuk menawarkan apa yang dihajati kerana ianya terlalu idealistik dan tidak berpijak pada kerangka institusi sedia ada.

Hal ini adalah kerana setelah beberapa dekad berlalu, kita masih gagal membangunkan sistem kewangan Islam yang efektif yakni seperti yang dihajati oleh golongan agamawan. Sistem kewangan konvensional sahaja memerlukan enam abad atau lebih untuk berkembang maka tidak mustahil sistem kewangan Islam memerlukan masa dan tempoh percubaan yang panjang untuk sampai ke tahap yang dihajati. Maka toleransi antara dua pihak dalam memilih titik persamaan diperlukan selagimana ianya berada dalam landasan Shariah dan kerangka institusi yang dapat merealisasi kontrak yang dingini.

Atas dasar itulah kita harus menerima hakikat bahawa sistem yang diguna pakai kini adalah cenderung kepada sistem konvensional sedia ada cuma ianya diusahakan supaya masih dalam linkungan Shariah. Mekanisma sistem yang dituruti ini berkemungkinan agak kabur jika jawatankuasa Shariah tidak memainkan peranan yang menyeluruh. Kekaburan di dalam sistem kewangan ini jika dibiarkan akan menjurus kepada salah faham bahawa sistem kewangan Islam yang digunakan adalah sama seperti sistem konvensional. Usaha gigih yang berterusan diperlukan supaya sistem kewangan Islam kini tidak dimanipulasi oleh sistem konvensional yang mengusai pasaran.

Selain itu, seperti apa yang diterangkan di awal penulisan ini, tulisan atau ucapan yang berbentuk retorik rancak mengusulkan untuk membangunkan keseragaman yang tetap, walhal realitinya pasaran adalah terbahagi dan fleksibel. Hatta tertubuhnya institusi-institusi antarabangsa yang berkaliber seperti Accounting and Auditing Organisation for Islamic Financial Institutions (AAOIFI), Islamic Financial Services Board (IFSB) dan sebagainya, pelbagai isu masih tidak dapat diselesaikan. Apa tidaknya jika pasaran terbahagi dengan pelbagai struktur yang berbeza, contohnya monopoli, oligopoli, dan sebagainya. Maka campur tangan dalam hal-hal pengawalan kewangan Islam global yang dianggap perlu dibatasi hanya kepada pihak-pihak yang tertentu sahaja hakikatnya memerlukan jumlah badan Shariah yang berbeza bergantung kepada struktur pasaran.

Masalah lain yang dihadapi ialah banyaknya persoalan hukum hakam yang bermain dalam benak mereka yang terlibat dengan industri perbankan tetapi sungguh sedikit golongan agamawan yang terlibat sama di dalam industri. Ini akhirnya menyebabkan mereka yang terlibat sukar mendapatkan panduan dan nasihat dari golongan yang pakar dalam hal-hal kewangan Islam. Tidak hairanlah jika banyak masalah mutakhir ini berlaku akibat daripada kurangnya penglibatan golongan agamawan dalam industri untuk berkerjasama dengan orang-orang yang berada di dalam industri. Meluluskan sahaja kontrak tidak memadai kerana tanpa panduan dan penglibatan sama golongan agamawan, kontrak yang dijalankan barangkali tidak menjadi sepertimana yang dihajati.

Kewangan Islam yang efektif memerlukan kerjasama antara semua pihak. Jika masalah kekurangan golongan agamawan untuk turut sama dalam merungkai persoalan yang bermain di benak mereka yang terlibat di dalam industry berterusan, tidak mustahil ia akan membawa pula kepada masalah-masalah lain. Golongan agamawan harus menyedari bahawa tidak semua mereka yang mengimplementasi kontrak yang telah diluluskan memahami objektif Shariah disebaliknya. Perbezaan latar belakang dan ilmu yang ketara merupakan jurang yang seharusnya dirapatkan bagi melancarkan perlaksanaan sistem.

Wujud juga masalah seperti golongan agamawan yang meluluskan kontrak akhirnya menjadi golongan yang mengkritik kontrak yang telah diluluskan. Hal ini berlaku apabila di awal pembangunan sistem kewangan Islam, beberapa pihak dari golongan agamawan yang terlibat sama dalam meningkatkan kredibiliti institusi kewangan Islam memilih untuk bersikap sederhana dalam membenarkan inovasi yang berlaku. Jika hal ini dibiarkan, golongan agamawan yang berkompromi sama akan menyebabkan inovasi tersebut berterusan sehingga melebihi had-had yang ditetapkan. Atas dasar itu, adalah lebih baik jika membatasi golongan agamawan yang membuat keputusan untuk mengelak inovasi sewenang-wenangnya berlaku. Atau mempunyai penasihat shariah bebas untuk memantau jawatankuasa penasihat Shariah bagi institusi-institusi kewangan Islam.

Tujuan mengutarakan paradoks ini adalah untuk menambah kefahaman realiti sistem kewangan Islam sedia ada dengan lebih baik. Pemahaman yang jelas diperlukan agar kita berpijak di bumi yang nyata dan tidak bersikap retorik baik dalam penulisan mahupun ucapan. Dengan pemahaman yang jelas juga kita mampu memahami tahap masa kini di samping memperkuat sistem kewangan Islam. Kekuatan dan kelemahan semua pihak di dalam dan luar industri yang turut sama dalam perjuangan ini perlu diambil kira bagi memartabatkan sistem kewangan Islam dengan lebih efektif.

Wallahu’allam.

Kewangan Islam - Pengurusan Risiko Adakah kewangan Islam menolak konsep pengurusan risiko?

Adakah pengurusan risiko suatu konsep yang asing dalam kewangan Islam? Sudah tentu tidak.


Apakah itu pengurusan risiko? Secara ringkasnya, ia adalah proses bagi mengenalpasti risiko, mengukur risiko, memantau risiko, melaporkan mengenai risiko dan mengawal risiko. Tapi tunggu... mungkin ada yang tidak tahu apakah itu risiko? Risiko adalah ketidakpastian dan pendedahan pada ketidakpastian berkenaan.

Dengan berpandukan definisi-definisi tersebut, jelaslah bahawa sesuatu sistem kewangan tidak dapat beroperasi dengan berkesan dan cekap tanpa kewujudan sistem pengurusan risiko yang mantap dan kuat, terutamanya dalam dunia global masa kini, yang mana risiko sistemik bermain di minda setiap orang, khususnya ketua pegawai eksekutif di institusi-institusi kewangan yang besar, yang mempunyai pejabat di seluruh dunia.

Institusi kewangan Islam beroperasi di alam nyata. Maka, sudah tentulah ia terdedah pada risiko, dengan risiko-risiko utama yang dihadapinya adalah risiko kredit, risiko pasaran dan risiko operasi. Risiko kredit didefinisikan sebagai risiko yang berpunca daripada ketidakpastian, iaitu sama ada pihak penghutang berkeinginan ataupun mempunyai kemampuan untuk menjelaskan hutangnya ataupun tidak. Dalam model perniagaan institusi kewangan Islam yang sedia ada, yang mana kebanyakan produk mereka adalah berdasarkan kredit, mereka terdedah pada risiko kredit, yakni sama seperti institusi kewangan konvensional. Walau bagaimanapun, banyak pihak, terutamanya ahli akademik dan para ilmuwan berpandangan bahawa model perniagaan yang diaplikasikan oleh institusi kewangan Islam era kini tidak memenuhi syarat-syarat bagi perniagaan kewangan Islam yang sebenar, yang dicirikan oleh perkongsian untung dan rugi, yang menjana pertumbuhan ekonomi. Isu itu tidak akan dibincangkan dalam artikel ini, tetapi dalam artikel-artikel yang akan datang.

Risiko pasaran pula ditakrifkan sebagai risiko kewangan yang diakibatkan oleh ketidakpastian dalam nilai sesuatu portfolio aset dan/atau liabiliti. Institusi kewangan Islam terdedah pada risiko pasaran, terutamanya apabila ia memberikan pembiayaan di bawah prinsip salam dan istisna’, atau murabahah sekalipun. Turun naik harga komoditi merupakan risiko kerugian yang dihadapi institusi kewangan Islam. Walau bagaimanapun, dalam hal ini, banyak pihak yang berhujah bahawa dalam landskap perbankan Islam masakini, bank-bank Islam tidak terdedah pada risiko pasaran yang berkaitan dengan perdagangan komoditi. Ini disebabkan hak terhadap komoditi terbabit tidak dipindahkan kepada mereka, seperti yang jelas terpapar dalam pelaksanaan bai’ bithaman ajil.

Berkenaan dengan risiko operasi pula, ia lazimnya dikaitkan dengan manusia, teknologi dan operasi seharian. Risiko ini tidak hanya dialami oleh institusi kewangan, tetapi juga oleh mana-mana entiti perniagaan.

Berbalik kita pada persoalan asal, iaitu adakah kewangan Islam menolak konsep pengurusan risiko? Jawapannya tidak. Ini dapat dibuktikan melalui ayat-ayat Quran dan juga Sunnah Rasulullah s.a.w. yang sarat dengan saranan supaya manusia menggunakan akal mereka untuk berjaya dalam dunia yang penuh dengan ketidakpastian ini.

Dalam Surah Yusuf, misalnya, kita diberitahu mengenai bagaimana Nabi Yusuf a.s. mentafsir mimpi Raja Mesir, yakni Mesir akan berhadapan dengan tujuh tahun kemarau selepas tujuh tahun yang penuh dengan kemakmuran. Berdasarkan penafsiran itu, Nabi Yusuf a.s. kemudiannya mencadangkan suatu pelan bagi menghadapi masa kritikal itu. Pelannya adalah supaya penduduk Mesir menanam bahan makanan semasa tujuh tahun yang makmur itu dan menyimpan sebahagian besar daripadanya. Ini adalah supaya mereka akan siap siaga apabila kemarau melanda bagi tujuh tahun yang berikutnya.

Nabi Yusuf a.s. kemudiannya dilantik oleh Raja Mesir sebagai Menteri Pertanian. Sebagai Menteri Pertanian, baginda melaksanakan pelan yang dirangkanya itu. Hasilnya, Mesir dapat bertahan apabila kemarau melanda dan berpanjangan selama tujuh tahun. Ini adalah bukti jelas pengurusan risiko, iaitu risiko kelaparan dan kebuluran dikurangkan dengan menanam bahan makanan dan menyimpan sebahagian besar daripadanya selama tujuh tahun pertama, iaitu tahun-tahun yang makmur.

Sebuah lagi contoh adalah hadis yang seringkali digunakan oleh para penggiat industri takaful. Secara ringkasnya, hadis itu berkisar mengenai seorang Arab Badwi yang bertanyakan pada Rasulullah s.a.w. tentang mana yang lebih baik; meninggalkan untanya tanpa diikat dan memohon agar Allah s.w.t. melindungi untanya ataupun mengikat untanya. Rasulullah s.a.w. menyuruhnya mengikat untanya dan kemudian barulah bertawakkal kepada Allah s.w.t.. Ini jelas menunjukkan bahawa walaupun segala perkara ditentukan oleh Allah s.w.t., kita haruslah sentiasa menggunakan minda kita untuk menentukan tindakan yang terbaik bagi sesuatu situasi, dengan syarat tindakan itu adalah selaras dengan kehendak Syariah. Dalam konteks pengurusan risiko, dalam kes ini, risiko unta itu melarikan diri ataupun dicuri dikurangkan dengan mengikatnya.

Daripada bukti-bukti yang dijelaskan, sedarlah kita kini bahawa Islam tidak menolak konsep pengurusan risiko, malah menggalakkannya bagi memastikan kelangsungan kewujudan manusia sebagai khalifah di bumi Tuhan yang indah ini.

Fiqh Siyasah Syar'iyyah

1.0 Muqaddimah

Perkara siasah syar'iyyah yang berbangkit daripada kewajipan khalifah yang telah ditetapkan oleh Allah Taala kepada manusia di atas muka bumi. Ia merupakan bidang yang sangat penting dan dilupakan oleh orang Islam di zaman mutakhir ini akibat malapetaka pemikiran serangan musuh-musuh Islam ke atas umat Islam.

Catatan ini saya bangkitkan sebagai memperkenalkan fiqh As-siasah As-syar'iyyah

Secara ringkas kerana الحكم على الشىء فرع عن تصوره .

2.0 Pengertian Fiqh As-Siasah As-Syar'iyyah.

Fiqh bermakna الفهم ( memahami ) dan العلم ( mengetahui ) . Firman Allah Taala :

" لا يكادون يفقهون حديثا - اى لا يفقهون " . Manakala السياسه berasal dari perkataan 1ساس يسوس سياسة bermaksud mentadbir sesuatu urusan dengan perkara yang memberi maslahah. Di dalam hadis : 2"كان بنى اسرائيل تسوسهم ابنائهم "

Perkataan siasah menurut pandangan ulama' silam, merujuk kepada dua makna, umum dan khusus. Maknanya yang umum adalah mentadbir urusan manusia berhubung hal keduniaan mereka dengan syariat agama. Justeru mereka menakrifkan khilafah :

نيابه عن رسولالله صلى الله عليه وسلم فى حراسة الدين وسياسة الدنيا به

Maksudnya: menggalang ganti dari Rasulullah dalam menegakkan agama dan mentadbirkan dunia dengannya (agama).

Adapun makna-makna yang khusus adalah pandangan-pandangan imam atau hukum-hukum dan peraturan yang dikeluarkan oleh imam sebagai mencegah dari berlakunya kerosakkan atau untuk menghindari dari wujudnya suasana yang rosak.3

Mafhum siasah syar'iyyah yang dikehendaki adalah siasah yang ditegakkan di atas dasar syarak4. Berkata ulama’ Syafie :5 لا سياسة الا ما وقف الشرع

3.0 As-siasah As-syar'iyyah : antara usul dan furu'

Sebahagian dari hukum siasah syar'iyyah berpindah daripada kitab-kitab furu' ke kitab- kitab usul iaitu Usuluddin. Kitab-kitab aqidah atau tauhid membahaskan maudu' imamah atau khalifah. Syiah Imamiah menganggap permasalahan imamah adalah daripada usuluddin dan sebahagian dari aqidah di sisi mereka sehingga menyebabkan ulama' Ahli Sunnah membincangkanya dalam kitab-kitab aqidah mereka walaupun ianya di sisi Ahli Sunnah termasuk dalam perkara furu' kerana ia bersangkut dengan amal perbuatan bukannya dengan aqidah.

Namun ianya tidak boleh dijadikan hujah untuk mempermudahkan dalam perkara ini kerana Islam bukan terdiri daripada aqidah semata-mata tetapi juga melibatkan amal. Solat dan zakat umpamanya perkara furu' bukan usul tetapi sesiapa yang mengingkari kewajipannya atau mempermudahkannya boleh menjadikan ia kafir. Begitu juga dengan imamah atau berhukum dengan hukum Allah daripada perkara furu' tetapi iktiqad wajib mengimaminya adalah perkara usul dan termasuk dalam soal keimanan.6

4.0 Manhaj Fiqh As-siasi Semasa

Manhaj itu perlu diasakan kepada dua perkara :

4.0.1 Kembali kepada usul dan mengambil hukum-hukum dari sumbernya yang sebenar dengan mengambil faedah daripada turath fiqhul Islami.

4.0.2 Selari dan tidak terpisah dari tuntutan semasa, berusaha unuk mengubati masalah dari sudut pandangan syara' kerana syara' tidak pernah mengabaikan waqi'.



Sunday, May 24, 2009

Latar Belakang

Industri perbankan Islam dan takaful telah mencapai
kemajuan yang memberangsangkan semenjak penubuhan
bank Islam yang pertama pada tahun 1983 dan syarikat
insurans Islam (takaful) yang pertama pada tahun 1984.
Pada akhir tahun 2000, sektor kewangan Islam merangkumi dua bank Islam, 47
institusi perbankan konvensional (17 bank perdagangan domestik, empat bank
asing, 14 syarikat kewangan, lima bank saudagar dan tujuh syarikat diskaun) yang
menyertai Skim Perbankan Islam (SPI), pasaran wang secara Islam, dua syarikat
takaful dan pelbagai produk kewangan. Berikutan proses penggabungan institusiinstitusi
perbankan domestik, bilangan institusi perbankan konvensional yang
menyertai SPI akan menurun kepada 33 buah, terdiri daripada sembilan bank
perdagangan domestik, empat bank asing, lapan syarikat kewangan, lima bank
saudagar dan tujuh syarikat diskaun.
Kepentingan perbankan Islam telah meningkat secara progresif dengan
mencatatkan pertumbuhan tahunan purata sebanyak 49% dari segi aset daripada
tahun 1995 hingga 1999. Pada tahun 2000, sektor perbankan Islam terus
mencatatkan pertumbuhan aset yang kukuh sebanyak 30% kepada RM47.1 bilion
manakala deposit dan pembiayaan masing-masing meningkat kepada RM35.9
bilion dan RM20.9 bilion. Dari segi prestasi secara relatif berbanding dengan
sistem perbankan, pada akhir tahun 2000, peratusan aset perbankan Islam telah
meningkat kepada 6.9%, manakala deposit dan pembiayaan masing-masing
meningkat kepada 7.4% dan 5.3%. Rangkaian perkhidmatan juga telah
berkembang dengan pesat yang mana terdapat lebih daripada 2,200 cawangan
bank-bank Islam dan bank-bank SPI yang menawarkan perkhidmatan dan produk
perbankan Islam. Perbankan Islam juga telah memberi kesan limpahan kepada
pengantara kewangan bukan bank yang lain seperti institusi kewangan
pembangunan, institusi simpanan dan institusi kredit perumahan yang turut
memperkenalkan skim dan instrumen kewangan Islam bagi memenuhi permintaan
pelanggan. Di samping itu, pertumbuhan pesat pasaran sekuriti hutang dan ekuiti
secara Islam turut merancakkan aktiviti pasaran modal. Bagi melengkapi usahausaha
ini, Pusat Kewangan Luar Pesisir Antarabangsa Labuan juga telah memulakan
usaha yang serius untuk menubuhkan Pasaran Kewangan Islam Antarabangsa
bagi merangsang penggemblengan mudah tunai dan instrumen kewangan di
samping meningkatkan peluang pelaburan supaya dana-dana Islam digerakkan
dengan lebih berkesan.