Sunday, May 24, 2009

Latar Belakang

Industri perbankan Islam dan takaful telah mencapai
kemajuan yang memberangsangkan semenjak penubuhan
bank Islam yang pertama pada tahun 1983 dan syarikat
insurans Islam (takaful) yang pertama pada tahun 1984.
Pada akhir tahun 2000, sektor kewangan Islam merangkumi dua bank Islam, 47
institusi perbankan konvensional (17 bank perdagangan domestik, empat bank
asing, 14 syarikat kewangan, lima bank saudagar dan tujuh syarikat diskaun) yang
menyertai Skim Perbankan Islam (SPI), pasaran wang secara Islam, dua syarikat
takaful dan pelbagai produk kewangan. Berikutan proses penggabungan institusiinstitusi
perbankan domestik, bilangan institusi perbankan konvensional yang
menyertai SPI akan menurun kepada 33 buah, terdiri daripada sembilan bank
perdagangan domestik, empat bank asing, lapan syarikat kewangan, lima bank
saudagar dan tujuh syarikat diskaun.
Kepentingan perbankan Islam telah meningkat secara progresif dengan
mencatatkan pertumbuhan tahunan purata sebanyak 49% dari segi aset daripada
tahun 1995 hingga 1999. Pada tahun 2000, sektor perbankan Islam terus
mencatatkan pertumbuhan aset yang kukuh sebanyak 30% kepada RM47.1 bilion
manakala deposit dan pembiayaan masing-masing meningkat kepada RM35.9
bilion dan RM20.9 bilion. Dari segi prestasi secara relatif berbanding dengan
sistem perbankan, pada akhir tahun 2000, peratusan aset perbankan Islam telah
meningkat kepada 6.9%, manakala deposit dan pembiayaan masing-masing
meningkat kepada 7.4% dan 5.3%. Rangkaian perkhidmatan juga telah
berkembang dengan pesat yang mana terdapat lebih daripada 2,200 cawangan
bank-bank Islam dan bank-bank SPI yang menawarkan perkhidmatan dan produk
perbankan Islam. Perbankan Islam juga telah memberi kesan limpahan kepada
pengantara kewangan bukan bank yang lain seperti institusi kewangan
pembangunan, institusi simpanan dan institusi kredit perumahan yang turut
memperkenalkan skim dan instrumen kewangan Islam bagi memenuhi permintaan
pelanggan. Di samping itu, pertumbuhan pesat pasaran sekuriti hutang dan ekuiti
secara Islam turut merancakkan aktiviti pasaran modal. Bagi melengkapi usahausaha
ini, Pusat Kewangan Luar Pesisir Antarabangsa Labuan juga telah memulakan
usaha yang serius untuk menubuhkan Pasaran Kewangan Islam Antarabangsa
bagi merangsang penggemblengan mudah tunai dan instrumen kewangan di
samping meningkatkan peluang pelaburan supaya dana-dana Islam digerakkan
dengan lebih berkesan.

No comments:

Post a Comment